Friday, April 16, 2010

DARI KISAH TEMAN-TEMAN

Daripada kisah teman-teman seperjuangan…pelbagai… yang gembira menyambut cucu, mahupun menantu. Yang berantakan ibarat retak yang memang akan terbelah. Jatuh, rabak bahagia semula. Sakit, berubat dan menanti dengan payah akan kesudahannya. Tak kurang kehilangan...berganti atau meratapi terus...

Hari-hari pelbagai kisah derita mendatang...mengapa tiada kisah bahagia... demikian pun, harus terpaksa mendengar, menghayati, tumpang meleleh...kata teman jangan simpati cukup setakat empathy...

Hari-hari berlalu ada yang berlagak tahu, terlalu menyibuk, menikam dengan keris pusaka atau sembilu....turut ada yang menjadi enau atau pun terus kadok. Sehingga yang gagah macho tumpas dan tewas berderai...sesetengahnya `jika aku tak berjaya...kamu juga tidak harus mengecapinya,’ lalu diracuni dan porak peranda.

Pada yang berjaya, jangan alpa...kerana setiap renungan bintang di langit kita sentiasa berpijak rumput di bumi.

Yang berbahagia teruskan membina kebahagian dan bawa-bawalah menoleh ke belakang supaya tidak terlajak...

Tuah dahulu sanggup menggadai cintanya pada teja demi kehendak rajanya walaupun teja merayu dan luluh kerana tertipu...melur sanggup korban nyawanya kerana membela tuah yang difitnah...adakah lagi pengorbanan sedemikian pada zaman cyber ini.

Kata pujangga, jika kita tidak menghargai bahagia yang sedikit ertinya kita tidak akan bahagia seterusnya.

Saya seronok menikmati, mengimbau dan menghayati kisah-kisah lama di smj dan jenan melalui kawan-kawan...melihat gambar-gambar kita dulu-dulu yang dipaparkan teman-teman...terasa asyiknya dibuai bahagia mesra.....seperti baru semalam berlalu... dan hampir lupa sudah hampir mencecah 52...indahnya kenangan...

Melihat wajah tenang ibu saya menghadapi hari tuanya...dalam sepi hatinya, dia bahagia menyaksikan anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya...tentu juga dia merindui zaman mudanya... walau dalam serba payah zaman jepun, british dan bersama berjuang mencapai kemerdekaan ( walau hanya dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi ), sawah bendang dan kebun getah tempat mencari rezeki, dinginnya air perigi, enaknya sayur dan ulam kampung...

3 comments:

  1. Salam Kak Ct,

    Masa kecik2 kita tak kisah apa, yang kita tau apa yang kita nak misti ada. Mak bapak pula tak kira apa yang ada semua dibagi kepada kita. Tak terfikir langsung susah payah mak bapak nak memenuhi keinginan kita.

    Bila dah besak sikit kita rasa macam terpaksa pulak berlumba , kerana bersaing dengan adik beradik yang jugak mak bapak nak jaga. Kita masih tak kisah kerana kerja kita mintak saja, mak bapak pasti usaha jugak memenuhi permintaan kita.

    Bila remaja baru terfikir sikit susahnya mak bapak berkorban membela kita. Nak minta pun kena fikir jugak la, beban ke tak beban mereka. Korbankan sedikit kemahuan kita, kerana ingat jugak beban mak bapak bukan untuk kita saja, yang lain pun nak juga. Ingat2 nak bantu juga tapi mak bapak suruh kita belajar saja.

    Sampai masa kita dah jadi orang muda, semangat meluap nak bantu keluarga, belajaq tak habis pun tetap nak kerja. Kata dalam hati ' tak pa la kerja dulu, ada duit nanti belajaq balik la'. Bukan apa , cuma niat nak bantu keluarga , bagi adik2 belajaq pulak.

    Bila dewasa kita pulak teringin nak berkeluarga, maka kawin la kita. Putaran mak bapak dulu balik pulak kat kita. Mampu ka kita lakukan apa yang mak bapak dulu korbankan untuk kita? Perlukah kita merungut karenah anak2 kita? Perlukah kita kata susah la ada keluarga? Fikir2kan la..

    Bila dah tua2 ni baru la saya dapat tangkap mengapa terukir kata-kata " Hidup ni macam roda". Putarannya yang akan menentukan dimana kita berada.

    Tq Kak ct kerana mengingatkan saya kepada bonda tersayang saya dikampung. Ayah saya dah tak ada. Alfatehah...

    Tq

    ReplyDelete
  2. Mi, mak saya ada dengan saya sekarang ni...dah dekat sebulan. Dalam setahun dua tiga kali juga saya bawa dia ke kl...berubah angin...tapi saya tahu jauh di sudut hatinya, dia lebih bahagia di kampung....

    ReplyDelete
  3. harga sebuah persahabatan, nilainya cahaya bulan di gelap malam. Ikatan sesebuah kekeluargaan, taliannya air yang tidak henti henti mengalir.

    ReplyDelete