Thursday, August 26, 2010

Anak-anakku

Anak-anakku

(buat anak-anakku yang sering membenamkan

kata-kata, 'lemparkan duka itu jauh-jauh...')

Anak-anakku,

dari rahim ibu yang disalut kegelapan,

diberi hidayah melihat kehidupan,

perlangkahan penuh ranjau dan cabaran,

kalian adalah permata yang berkilauan,

penyeri sungai kebahagiaan,

penyubur pohon keindahan,

penyegar daun kesengsaraan.

Dengan jerit tangis senda gurau tawa riangmu,

itulah kebahagiaan yang mengisi ruang,

itulah suara-suara anugerah Yang Maha Esa,

yang nilainya intan permata,

kami rela bertarung nyawa,

demi kesenangan zuriat tercinta,

tidak pernah kami mengharap,

balasan dan imbalan jasa,

yang telah tercurah.

Anak-anakku,

bawalah segala ilmu akhlak dan peribadi luhur,

ke muara sungai hidup,

binalah pulau yang makmur,

jangan disalut pakaian takbur,

ratiplah zikir-zikir syukur,

selalulah bertafakur,

untuk membina diri yang zuhud.

SMAHADZIR

Shah Alam, Selangor

20 April 2010

Sunday, August 1, 2010

KAWAN-KAWAN

Semalam 31 julai 2010...bertemu ramai kawan lama dalam majlis yang sangat istimewa...lama tak jumpa...tersingkap kisah lama, zaman muda remaja. Semua kelihatan ceria, gembira dan berbahagia bertegur sapa, ada yang telah lupa nama, namun wajah masih di hati...

Kebanyakan cerita berkisar di jitra yang penuh nostalgik. Dulu zaman kita meniti kehidupan dengan penuh susah payah, tapi kita bahagia bila mengenangkan semula. Berkisar tentang kisah cinta monyet yang tak kesampaian, beberapa pasangan yang terkenal tapi tak ada jodoh...Semalam ada pasangan yang bertemu kembali tetapi masing-masing sudah punya keluarga dan kehidupan sendiri...bila sudah berada di usia ini bekas pasangan sudah tidak kekok untuk bertukar-tukar cerita tentang kebahagian keluarga masing-masing. Cerita tentang kejayaan anak-anak. Sungguh terharu...memang tidak ada jodoh...

Ramai sekali, datang dari seluruh Malaysia, kerana yang diraikan juga datang dari jauh...nun dari negara orang putih. Ada yang sangat berjaya dan ada juga yang biasa-biasa sahaja, malah tak kurang juga yang merasai jatuh bangun...demikianlah rencah kehidupan. Sempat juga menderma untuk yang ditimpa musibah...

Untuk yang berjaya, tahniah dan semoga berkekalan, tetapi pada yang merasai kegagalan... teruskan berusaha, kerana Allah sentiasa memberkati usaha yang gigih. Kisah-kisah sedih kawan-kawan, kita ambil sebagai iktibar...masa merubah segalanya...kita taburkan rasa simpati yang tak berbelah bahagi, kerana belum tentu kita tidak akan ditimpa dugaan.

Kembali ke kampung ini...kenapa terasa amat, kesepiannya, tiada lagi suasana dulu ... ketara benar perbezaan zaman kita anak-anak dulu...adakah kerana kita terlalu lama merantau...